Gangguan emosi boleh ditakrifkan
sebagai satu situasi yang menunjukkan satu atau lebih karasteristik oleh murid-murid.
Menurut Kamus dewan bahasa dan pustaka telah memberi maksud kepada
gangguan emosi sebagai gangguan emosi adalah akibat konflik yang tidak
dapat diselesaikan, yang dicirikan dengan keresahan samaada
melalui pertuturan atau perlakuan tertentu. Gangguan emosi juga dapat
ditakrifkan sebagai kelakuan menunjukkan ciri suka menyendiri dan mempunyai
emosi yang tidak stabil. Emosi merupakan salah satu unsur yang
memainkan peranan penting di dalam kehidupan manusia sejagat. Emosi juga
merupakan salah satu tunjang yang penting dalam perjalanan setiap insan di muka
bumi ini. Jika emosi diganggu, akan timbul beberapa masalah yang mampu
memberikan kesan - kesan yang negatif kepada diri sendiri seperti tidak
bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara dan sering kelihatan gelisah bagi
melaksanakan sesuatu tugasan. Jika berlarutan, gangguan emosi ini akan menjadi
penyakit yang lebih serius dan boleh menyebabkan gangguan mental
Gaangguan emosi dikalangan kanak-kanak
sekolah sejak akhir-akhir ini semakin meningkat. Sebagai seorang guru, tahap kesediaan murid untuk belajar haruslah
dipantau agar emosi murid tersebut sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan
bersedia untuk belajar. Pendidikan pada masa kini bukan sahaja mementingkan
pencapaian di dalam ujian dan peperiksaan, malah setiap aspek perlu diberi
perhatian. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyeru para
pendidik untuk memperkembangkan potensi individu iaitu murid-murid secara
menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek,
jasmani, emosi, rohani dan social. Gangguan
emosi ini dapat dikategorikan dalam tiga jenis iaitu gangguan emosi ringan,
gangguan emosi sederhana dan gangguan emosi berat. Gangguan ini berlaku sama
ada secara ringan di mana gangguan tersebut boleh ditangani atau gangguan yang
terlalu kuat misalnya terlalu sedih sehingga mencederakan diri sendiri. Murid
yang mengalami gangguan emosi, mampu memberikan kesan negatif kepada pencapaian
akademiknya. Hal ini mampu menjejaskan hubungan murid dengan orang lain dan
keupayaannya belajar.
Merujuk kepada gangguan emosi yang
dihadapi oleh murid-murid di Sekolah Kebangsaan Pasir Ambor ,jenis- jenis
gangguan emosi yang telah dikenalpasti dihadapi
oleh murid-murid saya dapat dibahagikan
kepada 3 jenis iaitu gangguan emosi ringan, gangguan emosi sederhana dan gangguan
emosi berat. Gangguan emosi ringan dapat
dilihat bila masalah yang dihadapi selalunya
boleh diatasi sendiri oleh murid tersebut. Tetapi, jika diamati secara
mendalam, gangguan emosi yang dialami oleh murid ini kian terserlah kerana
kadang kala masalah yang dihadapi masih kurang sesuai dengan tahap tumbesaran
mereka. Walau bagaimanapun, mereka masih mampu untuk mengatasinya dengan baik
seterusnya tidak menjejaskan emosi mereka secara mendalam.
Gangguan emosi yang boleh dikategorikan
ringan di sekolah antaranya adalah seperti rasa kecil hati apabila terdapat
rakan-rakan yang tidak mahu meminjamkan peralatan seperti pencil, pemadam dan
sebagainya. Biasanya gangguan emosi ini
hanya berlaku dalam beberapa ketika sahaja. Naluri seorang kanak-kanak untuk berkawan
dan bermain bersama adalah tinggi, tetapi kadang kala apabila tercetusnya
konflik di mana mereka perlu berkongsi alat permainan atau perkakasan belajar,
emosi mereka serba sedikit terganggu dan mereka mampu mengatasinya dengan baik
Gangguan emosi sederhana jika diamati, lebih jelas kelihatan berbanding
dengan gangguan emosi ringan. Gangguan ini dapat dilihat dari segi fizikal
seperti gerak badan, mimik muka dan perlakuan murid-murid tersebut seperti
marah, takut, sedih dan sebagainya yang berada pada tahap biasa sahaja dan
merupakan sesuatu yang normal bagi kanak-kanak lain. Penentangan yang ditunjukkan pada kali ini
dalah lebih kuat berbanding dengan gangguan emosi jenis ringan sehingga
menyebabkan mereka melahirkannya dengan menggunakan pelbagai cara seperti
menangis, menjerit, menunjukkan memek muka tidak puas hati . Melalui pengalaman saya berkaitan dengan
gangguan emosi tahap sederhana ini terjadi disebabkan oleh perasaan tidak puas
hati terhadap guru yang mengajar yang pada pendapat murid tidak berlaku adil.
Sebagai contohnya mereka merasakan mereka layak menyertai sesuatu pertandingan
tetapi tidak terpilih. Murid yang
menaruh harapan yang agak tinggi untuk menyertai sesuatu pertandingan tersebut
akan mengalami kemurungan seketika kegagalan mencapai markah yang menjadi
target seseorang murid juga menjadi factor murid mengalami gangguan emosi.
Bagi gangguan emosi jenis berat pula,
dari segi fizikalnya, memang dapat dilihat dengan begitu jelas sekali bahawa
murid tersebut sedang mengalami gangguan emosi kerana tingkah laku murid
kelihatan agak pelik berbanding tingkah laku sehariannya. Gangguan emosi jenis
ini agak bahaya kerana mampu mengundang bahaya apabila murid tersebut akan
melakukan percubaan untuk mencederakan rakan-rakannya atau dirinya sendiri.
Apabila murid tersebut tidak dapat mengawal emosinya, kadang-kala tindakannya
akan berlebih-lebihan seperti menjerit-jerit dan mengehntak-hentakkan kaki atau
anggota bandannya sehingga mendatangkan kecederaan.
Gangguan emosi yang agak berat ini juga
telah berlaku di sekolah saya. Murid
tersebut kini berada di tahun 3. Gangguan emosi ini menyebabkan murid ini tidak
mahu datang ke sekolah. Beberapa kali murid ini cuba melarikan diri dari
sekolah. Walaupun hanya berada di tahap 1 dan fizikal yang agak kecil tetapi
murid ini berani melarikan diri dari sekolah untuk pulang ke rumah. Setiap pagi
bila sampai sahaja di sekolah, murid ini akan menangis dan meronta-ronta ingin
pulang ke rumah. Murid ini juga kelihatan murung dan tidak ceria ketika berada
di sekolah.
Melalui siasatan yang dilaksanakan
beberapa punca masalah telah dikenalpasti yang menyebabkan murid ini tidak suka
datang ke sekolah. Murid ini merupakan anak bongsu dalam keluarga. Agak
dimanjakan oleh ibunya. Sikap tegas guru yang mengajar terutamanya Matematik
menyebabkan dia takut untuk datang ke sekolah. Murid ini tidak mengikuti PRA sekolah atau
TADIKA, menyebabkan dia agak ketinggalan berbanding rakan-rakan yang lain.
Guru-guru yang mengajar perlu memberi tumpuan yang lebih kepada murid ini untuk
memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran dicapai. Situasi ini memberi tekanan emosi kepadanya. Faktor keluarga juga menjadi pendorong kepada
sikap tidak mahu ke sekolah bagi murid ini.
Dua orang daripada abangnya yang bersekolah menengah turut berhenti
daripada meneruskan persekolahan. Justeru itu dia juga merasakan tidak perlu
bersekolah dan dibebankan dengan banyak kerja sekolah. Kemudahan hiburan
seperti permainan video game menyebabkan murid ini lebih rasa seronok untuk
berada di rumah.
Sebagai seorang guru Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid, beberapa kaedah dan langkah telah saya laksanakan untuk mengatasi
masalah tekanan emosi murid ini yang takut untuk datang ke sekolah.
Perbincangan diadakan antara ibu bapa murid dan guru-guru yang mengajar murid
ini untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi. Guru -guru yang mengajar diminta lebih
bertolak ansur dan berlemah lembut untuk mengajarnya. Ibu bapa murid ini pula diminta untuk
bertegas menghantar anaknya ke sekolah.
Langkah ini hanya Berjaya untuk seketika sahaja.
Masalah ini turut dirujuk kepada PPD
Kuala Pilah kerana jumlah tidak hadir murid ini hamper 2 bulan.pihak PPD juga
turut berjumpa ibu bapa murid ini. Masalah ini akhirnya dapat diatasi oleh Guru
besar Encik Nasarudin bin Zainal apabila beliau bertegas untuk memindahkan
murid ini ke sekolah lain jika murid ini
masih takut datang ke sekolah. Murid ini
juga dirujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling untuk memberi keyakinan,
semangat dan hala tuju hidup dalam pendidikan. Melalui program bimbingan dan
kaunseling ini, murid dibimbing untuk membangunkan kemahiran bersosial,
meningkatkan jati diri untuk lebih bersikap berdikari sendiri dan mampu untuk
mengawal tingkah laku yang lebih positif dalam mengikuti pembelajaran seharian.
Selain daripada itu juga kerjasama yang
erat dengan ibu bapa murid diwujudkan untuk membincangkan masalah –masalah yang
dihadapi oleh murid-murid dari masa kesemasa. Penubuhan group whatsApp bersama
ibu bapa dan penjaga membantu guru-guru berinteraksi secara terus dengan mereka
berkaitan masalah-masalah yang dihadapi oleh murid-murid. Peneguhan sikap positif dalam diri murid
selalu diterapkan dengan menyatakan dan menunjukkan tingkah laku yang diingini. Hukuman dan ganjaran yang adil dan bersesuaian
diberikan kepada murid-murid untuk mengawal kecendungan murid-murid yang
mengalami gangguan emosi melakukan kesalahan- kesalahan disiplin.
Ceramah dan bengkel motivasi turut dilaksanakan
untuk ibu bapa, panjaga dan murid-murid.
Tujuannya adalah untuk mengajar dan memberi pendedahan cara yang
berkesan dan terbaik untuk menguruskan emosi murid-murid. Bengkel ini juga
mampu meningkatkan kecerdasan emosi
murid-murid. Di pihak para guru pula,
guru perlu menyampaikan pengajaran selaras dengan minat pelajar. Guru haruslah
mampu mengawal bilik darjah agar segala peraturan yang dikehendaki telah
difahami dan dipersetujui oleh murid-murid. Suasana ceria dapat diwujudkan
sekiranya ada bersefahaman antara guru dan murid-muridnya. Guru-guru perlu
memberi peluang kepada murid-murid untuk mengenalpasti kesalahan atau tingkah
laku yang tidak diingini dan seterusnya memberi ruang kepada murid-murid
berkenaan untuk membaiki tingkah lakuanya.
Kesimpulannya murid-murid yang mengalami gangguan emosi perlu
mendapat perkhidmatan psikologi dan kaunseling. Mereka ini perlu mendapat
khidmat bimbingan kepada ahli psikologi, kaunselor dan personel yang
berkelayakan atau bertauliah. Kerjasama dengan ibubapa juga perlu semasa
seseorang murid itu mendapat bimbingan daripada ahli psikologi, kaunselor dan
personel yang bertanggungjawab. Langkah-langkah
di atas ini akan membantu seseorang individu yang mengalami gangguan emosi
untuk menguruskan emosinya dengan lebih berkesan secara berpatutan dengan
kebijaksanaan menggunakan kecerdasan emosinya.
perkongsian yang baik..terima kasih
BalasPadam